RSS

PETUA HINDARI JERAWAT

Petua hindari jerawat ni saya peroleh daripada pelbagai jenis bahan bacaan seperti akhbar,buku petua dan majalah untuk wanita.Ada juga yang saya amalkan sendiri dan hasilnya memuaskan.Kepada anda,adik-adik,rakan-rakan & kakak-kakak yang mungkin berhadapan dengan masalah ini,bolehlah mencuba petua-petua ringkas berikut.Mudah-mudahan berkesan!

1) Dapatkan beberapa helai daun sirih. Bersihkan daun tersebut dan tumbuk dengan sedikit beras.Jadikannya seperti bedak sejuk dengan mencampurkan sedikit air sebelum memakainya.Lakukan sebelum masuk tidur.

2) Parut sengkuang,kemudian tapis & biarkan patinya mendap.Gunakan patinya dan oleskan ke seluruh wajah setiap malam sebelum masuk tidur. Petua ini juga sesuai untuk menyejukkan wajah kerana sifat sengkuang yang sememangnya sejuk.

3) Tumbuk atau giling pucuk jambu batu hingga halus .Gunakan dengan bedak sejuk.(p/s: Pastikan anda gunakan lesung yang tidak digunakan untuk menumbuk sambal belacan..bimbang kalau-kalau pijar.Jangan cakap saya tak beri amaran,heeee)

4) Jika jerawat baru sahaja muncul,anda boleh cuba petua ini.Ambil putih telur dan bancuh bersama tepung kanji.Sapukan pada jerawat tersebut.Insyaalah,jerawat akan hilang dan tidak berbekas.

5) Putih telur,susu tepung dan madu digaul bersama hingga sebati.Oleskan pada seluruh wajah,seelok-eloknya sebelum masuk tidur. Biarkan selama 25 minit lalu dibilas dengan air bersih. Amalkan sekerap mungkin.

6) Bawang putih juga ada gunanya untuk meredakan jerawat.Kupas kulit seulas bawang putih dan belah dua bawang tersebut. Titik atau tepekkan pada jerawat sebelum tidur.Amalkan setiap malam. (p/s: Anda mungkin akan berasa sedikit pedih)

7) Daun pegaga biasanya dijadikan ulam untuk awet muda,namun anda juga boleh gunakan ia untuk merawat jerawat.Bersihkan dan tumbuk beberapa helai pucuk pegaga bersama sedikit beras lalu campurkan dengan bedak sejuk. Lumurkan pada wajah setiap malam sehingga kesan jerawat hilang.

8) Gaul sebati sedikit tepung beras dengan perahan air limau nipis. Sapu pada wajah untuk seketika sebelum dibilas dengan air bersih.

9) Ambil kulit timun lalu tumbuk atau kisar hingga lumat.Lumurkan pada kesan jerawat dan biarkan selama setengah jam. Amalkan setiap hari.

10) Selain digunakan sebagai bahan rebusan untuk mandian wanita dalam pantang,daun inai juga berupaya merawat jerawat.Caranya ialah dengan mengambil secekak daun inai dan rebus bersama dua cawan air. Biar menggelegak,kemudian sejukkan. Sapu pada jerawat setiap hari sehingga kesan jerawat hilang.

11) Dapatkan serbuk kayu manis. Campurkan dengan bedak sejuk dan sedikit air. Lumur pada wajah sebelum tidur.Lakukan sekerap mungkin.

12) Kenalkah anda dengan asam gelugur? Sesetengah tempat menyebutnya sebagai asam keping.Rendam 2 keping asam gelugur semalaman dengan sedikit air. Tumbuk pucuk jambu batu lalu dicampurkan ke dalam air rendaman asam tadi. Sapu bahan tersebut pada seluruh wajah. Biarkan 10/15 minit sebelum dicuci. Lakukan 2 kali seminggu.

13) Gosok beberapa helai pucuk daun tanjung pada telapak tangan,seboleh-bolehnya sehingga lumat.Gosok perlahan bahan tersebut pada kulit muka dan biarkan ia kering. Cuci muka dengan air bersih.Lakukan setiap hari.

Mudah bukan…?!

Bookmark and Share

Tags: , , , ,

Tuesday, January 19th, 2010 at 1:31 pm • Sihat & CantikRSS 2.0 feed Both comments and pings are currently closed.

Comments are closed.

Better Tag Cloud