Salam Petang

Masih bercuti sempena sambutan Tahun Baru Cina ? Kalau tak ada apa yang hendak dibuat petang-petang begini, elok juga jika dapat mengajak anak-anak untuk sama-sama membersihkan persekitaran rumah. Bukannya apa, serangan wabak denggi dan penyakit bawaan tikus kini tidak lagi terhad di kawasan kampung tapi telah menular ke kawasan metropolitan. Puncanya ? Banyak ! Dan kebanyakannya berpunca dari tabiat kita sendiri yang kurang mengambil berat hal-hal berkaitan kebersihan. Opps, jangan pula salah faham ya. Saya bukan mengatakan orang kota pengotor.

Ok, petang ini sebenarnya saya mahu menulis tentang cara-cara menangani RSI. Apa itu RSI ? boleh sahabat semua rujuk pada entri yang lepas. Justeru telah berjanji,jadi pasti sekali saya akan mengotakannya.

Oleh kerana masalah RSI banyak berkait dengan faktor ergonomik, maka tips yang akan dikongsi bersama kali ini adalah dengan membuat pembetulan bagi posisi kerusi, meja, tetikus, papan kekunci, monitor dan yang berkaitan dengannya dalam usaha mengurangkan risiko RSI. Ok, mungkin elok jika sahabat semua buat sedikit catatan untuk perkara-perkara berikut.

Kawasan atau kedudukan komputer
Pastikan kawasan komputer berada dalam keadaan yang tersusun. Maksudnya, pastikan semua peralatan ( yang kerap digunakan ) berkaitan kerja-kerja anda berada hampir dengan kedudukan anda. Manakala ruangan di bawah komputer, seeloknya dikosongkan agar boleh digunakan untuk meregangkan / merehatkan kaki.

Postur duduk yang betul
Semasa duduk, pastikan punggung berada hampir dengan belakang kerusi. Duduk dengan tegak dan pastikan bahagian pinggul, bahu dan telinga berada dalam keadaan selari / garis lurus.

Beri sokongan pada bahagian lumbar
Untuk menyokong bahagian bawah belakang anda, gunakan kusyen atau selaraskan kedudukan kerusi ke depan.

Kaki wajar sentuh ke lantai
Jangan biarkan kaki tergantung. Rendahkan kerusi atau gunakan sesuatu sebagai alas kaki.

Selaraskan kedudukan skrin
Selepas menentukan kaki menyentuh lantai, selaraskan pula skrin komputer supaya berada separas dengan pandangan mata dan kedudukannya berada tepat di hadapan anda dengan jarak kedudukan antara 15 – 30 inci. Ini untuk mengelakkan anda daripada mendongak yang dalam jangka panjang boleh menyebabkan ketegangan pada bahagian tengkuk. Untuk panduan jarak seperti dinyatakan di atas, gunakan panjang lengan sebagai anggaran.

Berehat & ubah kedudukan
Untuk mengurangkan rasa kebas & ketegangan pada otot, anda boleh ubah kedudukan. Namun jangan sampai kedudukan baru jadi tidak selari daripada kedudukan asal. Berhenti buat sementara,bangun dan lakukan regangan atau senaman akan dapat memberikan kelegaan dan perbezaan yang ketara.

Gunakan penyokong pergelangan tangan (khas untuk kekunci dan tetikus )
Sokongan yang baik untuk pergelangan tangan semasa menggunakan papan kekunci & tetikus dapat mengurangkan tekanan pada otot tangan / kawasan karpal pergelangan tangan yang lazimnya menyebabkan sindrom CTS ( Carpal Tunnel Syndrome ). Pastikan lengan berada pada keadaan rehat 90 darjah.

Penggunaan telefon
Mungkin anda banyak mengendalikan panggilan masuk atau keluar semasa menggunakan komputer. Apa kata gunakan headset berbanding menjawab telefon dengan meletakkan alat tersebut di antara bahu dan leher kerana kebiasaan tersebut tidak lebih daripada memberikan ketegangan sahaja kepada leher.

Sumber : iSihat Januari 2012

Bookmark and Share